PENGURUSAN PEMBELAJARAN
SYASYA SYAFIQAH BINTI MOHD ADLAN (D20201093989)
Kaedah pengurusan pembelajaran merujuk kepada aktiviti pengajaran berkumpulan dan pengajaran individu.
Aktiviti pengajaran berkumpulan merujuk kepada kaedah pengajaran yang memerlukan pelajar menjalankan aktiviti dalam kumpulan. Hal ini juga dapat dijelaskan lagi kepada pengelompokan murid yang dibuat oleh guru berdasarkan peringkat kebolehan atau minat. Setiap guru mestilah mengetahui tentang tujuan atau sebab mengapa mereka menggunakan aktiviti pengajaran secara berkumpulan terhadap pelajar mereka. Antara tujuan atau sebab mereka melakukan aktiviti pengajaran berkumpulan ialah untuk memudahkan guru membimbing murid, untuk memupuk kerjasama antara murid, murid yang cerdas boleh membantu murid yang lemah dan guru dapat memberi tumpuan kepada pelajar yang sama peringkat kebolehan. Seterusnya, bentuk-bentuk dalam pengajaran berkumpulan terbahagi kepada tiga iaitu mengikut kebolehan, pelbagai kebolehan dan mengikut minat. Kebolehan mengikut kumpulan merujuk kepada kumpulan-kumpulan pelajar yang terdiri daripada pelajar yang mempunyai kebolehan yang sama. Cara mengelompokkan pelajar bagi kumpulan ini ialah guru memerhati dan mencatat pencapaian murid-murid dalam aktiviti P&P dan kemudian secara berhati-hati membahagikan murid-murid pada kumpulan-kumpulan tertentu mengikut kebolehan mereka. Guru juga boleh melabelkan sebagai kumpulan cerdas, sederhana atau lemah. Hal ini bertujuan untuk memudahkan penguasaan sesuatu kemahiran asas dalam mata pelajaran. Kumpulan pelbagai kebolehan pula kumpulan pelajar yang terdiri daripada pelajar yang memiliki pelbagai kebolehan dalam satu kumpulan. Setiap kumpulan terdiri daripada pelajar yang cerdas, sederhana dan lemah. Hal ini menunjukkan bahawa pelajar yang cerdas dapat membantu pelajar yang lambat. Oleh itu, ianya dapat meningkatkan kecerdasan emosi dan sosial pelajar. Kumpulan yang terakhir merupakan kumpulan mengikut minat dimana ianya berdasarkan keseragaman minat atau bakat bagi seseorang pelajar. Sebagai contoh, kumpulan yang dibuat dalam mata pelajaran Muzik. Kumpulan ini biasanya sama ada bersifat kekal atau sementara berdasarkan kepada aktiviti pelajaran. Kumpulan ini juga merujuk kepada kehendak serta keperluan guru dan pelajar.
PENGAJARAN INDIVIDU
Pengajaran individu pula menjelaskan bahawa setiap pelajar memiliki perbezaan dari segi kecerdasan, kebolehan, bakat, cita-cita dan minat. Bukan itu sahaja, setiap pelajar juga berhak untuk mendapatkan peluang perkembangan kecenderungan mereka secara menyeluruh. Hal ini dapat membantu pelajar untuk menguasai kemahiran mengikut kebolehan mereka. Guru juga harus memerhati dan mengetahui perbezaan ini ketika waktu pembelajaran. Hal ini kerana, ianya dapat dikesan melalui kemahiran bertutur, membaca, menulis, mengira, menyelesaikan masalah, melukis dan menggunakan peralatan dan bahan. Pada amnya, pelajar mengalami proses pembelajaran secara individu walaupun ketika di dalam kelas sama ada secara formal atau tidak formal. Antara tujuan pengajaran individu dilakukan ialah supaya pelajar dapat menguasai kemahiran asas seperti membaca, menulis dan mengira mengikut kebolehan masing-masing, pelajar mendapat panduan secara langsung daripada guru atau rakan sebaya, pelajar dapat memperkembangkan lagi kemahiran berfikir dan bertindak dengan sendiri dan pelajar meningkatkan keyakinan diri dan mempunyai motivasi untuk belajar.
Comments
Post a Comment