PENDEKATAN PENGURUSAN BILIK DARJAH [MUHAMMAD YUZAIMY BIN ZAMRY (D20201094103)]

 Guru merupakan tunjang utama untuk memainkan peranan penting bagi membimbing dan memberi inspirasi serta motivasi kepada murid-murid dengan tujuan dapat menarik minat para pelajar tentang sesuatu perkara atau suatu perkara yang baru. Beberapa pendekatan yang tersedia ada, guru dapat membuat pandangan dan persediaan tentang pendekatan pengurusan bilik darjah supaya dapat menjadikan prinsip utama dalam bilik darjah sebelum memulakan pengajaran dan pembelajaran.


Pengurusan bilik darjah tidak lengkap jika tidak terdapat pendekatan pengurusan bilik darjah di sekolah. Setiap guru akan memilih beberapa pendekatan bagi melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan. Hal ini demikian kerana seorang guru perlu memilih pendekatan yang sesuai dalam pengurusan bilik darjah kerana pendekatan pengurusan bilik darjah amat penting untuk mempengaruhi kelakuan murid-muridnya. Umum mengetahui guru merupakan seorang individu yang memainkan peranan terpenting meluaskan dan memelihara tingkah laku serta disiplin murid-murid. Di dalam pendekatan pengurusan bilik darjah, terdapat enam pendekatan yang digunakan di dalam bilik darjah. Antaranya pendekatan autoritarian, pendekatan, permisif, pendekatan sosioemosi, pendekatan modifikasi tingkah laku, pendekatan kumpulan dan pendekatan pengajaran.


Pendekatan pertama yang digunakan oleh guru di dalam bilik darjah adalah pendekatan autoritarian. Pendekatan autoritarian merupakan suatu pengajaran yang tegas dan tidak ada tolak ansur. Guru kelas yang menggunakan kaedah pendekatan autoritarian ini semestinya terdiri daripada guru yang memiliki personaliti yang tegas dan mempunyai matlamat yang tinggi kerana guru kelas berkuasa penuh untuk menetapkan segala peraturan atau undang-undang di dalam bilik darjah tanpa perlu membuat perbincangan terdahulu dengan murid-murid serta para pelajar wajib untuk mematuhinya. Malah, guru yang mewujudkan peraturan di bilik darjah juga mempunyai hak untuk mengubah semula peraturan tersebut agar kelakuan dan disiplin murid terkawal. Contoh peraturan yang boleh dilaksanakan oleh guru ialah seperti mengambil kehadiran murid di dalam kelas, menekankan adab dan tingkah laku terhadap rakan-rakan dan guru, peraturan sekolah dan sebagainya. 


Seterusnya, pendekatan permisif merupakan pendekatan kedua yang digunakan oleh guru di dalam bilik darjah. Permisif bermaksud kebebasan. Pendekatan permisif ini merupakan pendekatan yang berlawanan dengan pendekatan autoritarian iaitu pendekatan permisif tertakluk tentang amalan demokrasi. Guru yang mengaplikasikan pendekatan ini di dalam bilik darjah dapat meningkatkan tahap komunikasi sesama guru dan pelajarnya serta dapat mewujudkan persekitaran bilik darjah yang kondusif dan tenang. Para pelajar bebas untuk menyuarakan hak atau pendapat mereka tentang sesuatu perkara semasa kelas berlangsung tanpa berasa takut dan tertekan walaupun terdapat kekuatan dan kelemahan tentang apa yang ingin disampaikan oleh mereka kepada gurunya. Namun begitu, jika terdapat guru yang sentiasa mengongkong dan menghalang pelajarnya untuk melakukan perkara yang terbaik buat mereka semestinya hal tersebut boleh menjejaskan perkembangan semula jadi pelajar. contonya, pelajar yang mahu memilih sama ada mahu kekal di dalam kelas pernigaan atau mahu menukar kepada aliran sastera terpulang untuk mereka membuat keputusan. Amalan teras pendekatan permisif ini adalah guru terhad dalam melibatkan diri dalam pelajar membuat keputusan. 


Selain itu, pendekatan sosioemosi merupakan pendekatan ketiga yang digunakan oleh guru di dalam bilik darjah. Sosial dapat dimaksudkan dengan segala perkara yang mempunyai kaitan dengan masyarakat, kemasyarakatan, hal masyarakat dan lain-lain lagi. Manakala emosi pula dapat dijelaskan dengan ekspresi diri seperti sedih, gembira,dan sebagainya. Guru yang menggunakan pendekatan sosioemosi ini akan mewujudkan persekitaran bilik darjah yang kondusif dan mempunyai aura positif. Hal ini demikian, persekitaran bilik darjah yang baik akan mempengaruhi emosi murid. Peranan guru yang memilih pendekatan ini mereka perlu bersikap perihatin dalam memahami masalah dan tingkah laku murid-murid dengan tujuan untuk berkomunikasi antara satu sama lain iaitu guru dan pelajar. Hal ini dikatakan demikian kerana, komunikasi antara dua pihak akan terus menerus dalam memberikan kesan yang baik kepada persekitaran bilik darjah malah para pelajar juga akan turut berganding bahu dalam menyelesaikan suatu masalah yang dihadapi mereka. Oleh itu, guru bertanggungjawab dalam mengenal pasti masalah yang sedang dihadapi oleh murid-murid dan dapat menyelesaikan masalah tersebut dengan segera supaya suasana kelas kekal ceria.


Pendekatan keempat yang digunakan oleh guru di dalam bilik darjah pula adalah pendekatan modifikasi tingkah laku. Secara umum, modifikasi boleh diklasifikasikan sebagai ubah dan penyesuaian. Tambahan lagi, modifikasi merupakan keupayaan yang dibuat untuk mencipta dan melakukan suatu penampilan yang terbaru, menarik dan unik. Manakala tingkah laku pula merupakan perkara yang dilakukan oleh seseorang terhadap suatu tindakbalas kepada sejarah dalaman mahupun luaran. Guru yang menggunakan pendekatan modifikasi tingkah laku kebiasannya mereka banyak memberikan peneguhan positif dengan kata-kata nasihat atau memberi amaran dengan menjalankan hukuman ringan. B.F Skinner berpendapat bahawa prinsip peneguhan dapat dibahagikan kepada dua iaitu peneguhan positif dan peneguhan negatif. Peneguhan positif yang dimaksudkan ialah memberikan ransangan dalam bentuk hadiah atau memberi pujian dengan tujuan untuk mengubah tingkah laku supaya menjadi baik manakala peneguhan negatif pula ialah memberikan sebarang hukuman dengan tujuan untuk mengeluarkan ransangan yang tidak diperlukan oleh pelajar. Oleh itu, guru penting untuk memainkan peranannya untuk membentuk tingkah laku yang baik.


Di samping itu, pendekatan kumpulan yang merupakan pendekatan kelima juga digunakan oleh guru di dalam bilik darjah. Secara umum, erti kumpulan adalah dua atau terdapat lebih daripada dua individu yang berkomunikasi secara ramai ke arah pencapaian sesuatu matlamat. Kumpulan kerja sering berkongsi dan memberikan maklumat serta membuat keputusan dengan tujuan untuk membantu sesama ahli kumpulan untuk melaksanakan sesuatu tugasan. Guru membuat penilaian prestasi dan menilai sumbangan apa yang diberikan di dalam kumpulan. Pendekatan kumpulan didefinisikan sebagai pelajar bergerak kerja di dalam kumpulan masing-masing. Walau hal yang demikian, pelajar yang berada dalam kumpulan mereka masih perlu kekalkan individualitinya dan memberikan bantuan untuk berkongsikan idea kepada kumpulan. Pelajar yang berada dalam kumpulan, mereka bertanggungjawab membantu memberikan buah fikiran dan juga sumbangkan sesuatu yang berguna kepada satu sama lain. Tambahan pula, pendekatan kumpulan merupakan kaedah yang lain dalam pengajaran untuk membantu murid berani menjadi yakin serta bebas dan secara langsung murid-murid bergantung antara satu sama lain di dalam kumpulannya. Guru kelas atau guru mata pelajaran haruslah memainkan peranan penting di dalam bilik darjah untuk mengekalkan sistem sosial yang berkesan dan berhasil. Jadi salah laku dan ketidakfahaman berkurang kerana guru mudah untuk memberikan tumpuan kepada pelajarnya apabila menggunakan pendekatan ini.


Akhir sekali, pendekatan yang keenam pula adalah pendekatan pengajaran yang digunakan oleh guru di dalam bilik darjah. Pengajaran ialah suatu aktiviti yang berkaitan dengan meluaskan ilmu pengetahuan yang terdiri daripada perancangan, pengelolaan, pengorganisasian, penyampaian, bimbingan dan juga penilaian. Pengajaran boleh dijelaskan dengan satu cara untuk penyediaan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan oleh guru supaya guru dapat memberikan ilmu pengetahuan dengan berkesan. Ringkasnya, pengajaran juga boleh dihuraikan sebagai proses penyampaian ilmu dan memberikan buah fikiran serta sebagai pemudahcara untuk membina ilmu, menetapkan standard dan merangsang kreativiti, membantu murid-murid belajar dan mengharungi setiap halangan bagi menuju ke arah pencapaian matlamat mereka. Pendekatan pengajaran yang sering digunakan adalah pendekatan masteri, kontekstual, koperatif, konstruktif, kolaboratif, penggabungjalinan kepelbagaian ilmu disiplin dan pembelajaran yang berasaskan masalah. Bukan itu sahaja, malah terdapat banyak lagi kaedah pengajaran dan pembelajaran yang boleh digunakan di dalam bilik darjah iaitu kaedah perbincangan, pembelajaran atas talian, penyelesaian masalah, inkuiri, kaedah yang berpusatkan pelajar dan sebagainya.


Kesimpulannya, pengurusan bilik darjah sangat penting untuk dititikberatkan agar proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan dan berjalan lancar. Dalam hal ini, pengurusan bilik darjah yang tersusun secara sistematik pada abad ke-21 ini mampu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih menarik dan dapat memberikan kesan yang positif kepada para pelajar. Persekitaran bilik darjah yang menarik juga merupakan kunci utama murid-murid dapat memberikan tumpuan penuh semasa guru sedang mengajar di dalam kelas. Secara langsung para pelajar yang berada di dalam suasana pembelajaran yang sistematik mudah untuk mereka menerima ilmu dengan senang malah mereka juga dapat memahami apa yang diajari oleh gurunya. Bilik darjah merupakan penggerak kepada penyampaian ilmu di sekolah. Keberkesanan penerimaan ilmu oleh murid turut bergantung kepada pengurusan bilik darjah yang diterapkan. Pengurusan bilik darjah mestilah menitikberatkan aspek penyusunan bilik darjah yang berada dalam kumpulan, aspek keceriaan kelas, aspek penggunaan bahan bantu mengajar (BBM) pada abad ke-21 dan lain-lain aspek lagi. Hal ini demikian kerana, setiap aspek yang diambil perlu diterapkan di dalam bilik darjah kerana penting bagi kefahaman dan tahap kebolehan murid dapat ditingkatkan dan kesannya lagi mereka dapat mengaplikasikan apa yang dipelajarinya dalam kehidupan harian malah dapat dijadikan sebagai teras utama kepada pencapaian matlamat proses pengajaran dan pembelajaran serta dapat memastikan keberkesanannya. Oleh itu, setiap aspek tentang ilmu pengurusan bilik darjah perlu diketahui oleh setiap guru bagi mencapai matlamat objektif.

Comments