PERSEKITARAN BILIK DARJAH YANG KONDUSIF (NUR AISYATUL AZRA BINTI ZAMRI- D20201094017)

PERSEKITARAN BILIK DARJAH YANG KONDUSIF

    Persekitaran pembelajaran yang kondusif merupakan tempat murid menimba ilmu pengetahuan, melibatkan diri secara aktif dan membina pelbagai kemahiran yang dapat membentuk dirinya sebagai seorang murid yang cemerlang. Bilik darjah menjadi medan untuk merangsang motivasi, minat dan semangat untuk belajar. Iklim bilik darjah yang baik membantu murid mencapai matlamat pembelajaran kerana mereka menyedari kepentingan sikap berdikari, memajukan diri dan sikap kesepunyaan antara satu sama lain. Oleh itu, guru haruslah berkeupayaan mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif di dalam bilik darjah.


SUSUNAN MEJA

    Susunan meja adalah salah satu aspek fizikal yang penting dalam bilik darjah. Proses penyediaan persekitaran bilik darjah susun atur meja dan tempat duduk pelajar memainkan peranan yang penting agar tidak menghalang kelangsungan proses pengajaran dan pembelajaran.  Susunan kerusi dan meja murid mestilah memberi peluang kepada hubungan mata antara guru dan murid. Susun atur bilik darjah seperti meja dan kerusi yang teratur dapat memastikan pelajar merasa selesa untuk belajar. Hal ini kerana persekitaran fizikal bilik darjah yang baik dengan kedudukan, saiz dan kuantiti kerusi meja dapat mempengaruhi iklim bilik darjah, kesejahteraan guru dan pelajar sekali gus dapat mempengaruhi tahap pencapaian pelajar. Sebagai contoh, susunan meja berbentuk abad ke-21 dapat memudahkan para pelajar untuk mengadakan aktiviti pembelajaran berpusatkan murid dan aktiviti berkumpulan. Murid mudah berinteraksi sesama mereka dan mudah berinteraksi dengan guru.


Susun atur meja berbentuk abad ke-21


KEBERSIHAN BILIK DARJAH

    Aspek kebersihan sangat penting bagi mengekalkan keselesaan murid dan menjamin kesihatan mereka ketika proses pengajaran dan pembelajaran. Dalam konteks pendidikan, elemen kebersihan dan keceriaan adalah perkara yang sangat wajar diberikan perhatian kerana ia salah satu indikator yang dilihat dan dinilai oleh masyarakat. Guru perlu mahir menyusun atur organisasi murid supaya setiap hari akan ada jadual pembersihan kelas. Contohnya, sebelum guru memulakan proses pengajaran dan pembelajaran, lantai kelas dan tong sampah mestilah berada pada tahap yang bersih. Jadual bertugas yang telah dibuat secara tidak langsung dapat membantu memupuk nilai integriti dalam diri murid agar bertanggungjawab menjalankan tugasan yang diberikan.


Bilik darjah yang bersih dan kemas


SUDUT-SUDUT KHUSUS BILIK DARJAH

    Persekitaran fizikal yang baik juga merangkumi sudut-sudut khusus pembelajaran dalam bilik darjah. Dalam konteks pendidikan sudut atau ruang merangkumi aspek fizikal dimana ianya membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan dalam keadaan yang selesa, terkawal, menyeronokkan serta memberi kesan yang terbaik kepada guru dan pelajar. Guru harus memastikan bilik darjah mempunyai ruang khusus agar murid dapat melakukan aktiviti pembelajaran dengan selesa dan bebas seperti aktiviti pembentangan, berpidato, bercerita, dan sebagainya. Bukan itu sahaja, ruang tersebut juga boleh digunakan untuk aktiviti pengayaan dan pemulihan murid. Selain daripada itu, ruang akses dan sudut bacaan perlu diwujudkan bagi memudahkan murid memperoleh bahan pembelajaran dan menyimpannya semula. Guru juga seharusnya menyediakan satu papan kenyataan pada dinding bilik darjah untuk info pembelajaran seperti sudut mengikut mata pelajaran serta mewujudkan satu sudut pameran untuk mempamerkan hasil kerja murid, gambar-gambar murid atau sebagainya. Hal ini dikatakan demikian kerana ia boleh meningkatkan semangat dan keyakinan untuk lebih memahami tentang sesuatu pembelajaran.


Sudut khusus bilik darjah


RUANG PENCAHAYAAN DAN PENGUDARAAN

    Ruang pencahayaan dan pengudaraan yang cukup amatlah penting untuk keselesaan murid dan guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Pencahayaan merupakan aspek persekitaran fizikal bilik darjah yang memberi impak kepada emosi pelajar. Kepenatan mata, pandangan yang kabur dan sakit kepala adalah kesan daripada pencahayaan yang tidak sesuai. Kesan sebegini boleh mengganggu murid dalam memberi fokus, menyebabkan tekanan dan kekeliruan kepada proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Tingkap dan lampu yang mencukupi boleh memberi pencahayaan yang mencukupi. Hal ini menunjukkan bahawa guru haruslah memastikan alat elektrik ini berfungsi dengan baik dan melaporkan kepada pihak bertanggungjawab jika berlaku kerosakan. Susun atur perabot dalam bilik darjah juga hendaklah disusun dengan baik supaya tidak menghalang tingkap untuk mengelakkan berlakunya halangan pencahayaan dan pengudaraan. Oleh itu, guru hendaklah sentiasa membuka pintu dan tingkap untuk aspek pengudaraan.


Ruang pencahayaan dan pengudaraan yang sesuai dalam bilik darjah












Comments