KEMAHIRAN-KEMAHIRAN PENGURUSAN BILIK DARJAH (NUR ATIQAH BINTI HUSSEIN D20201095405)

NUR ATIQAH BINTI HUSSEIN D20201095405 😄


👉 Kemahiran Merancang Sesuatu

    Guru mestilah menguasai kemahiran merancang sesuatu sebelum kelas bermula. Semasa merancang, guru akan merujuk sukatan pelajaran untuk menentukan matlamat dan hasil pembelajaran. Selepas itu, guru hendaklah memilih topik, menentukan kaedah yang paling sesuai, dan memilih strategi dan kaedah pengajaran mengikut gaya pembelajaran yang berbeza. Kemudian, guru perlu membentuk aktiviti atau kerja rumah yang sesuai dengan tahap prestasi pelajar, menetapkan tempoh setiap aktiviti atau kerja rumah, membentuk penilaian, menyediakan sumber PdPc, dan aktiviti pemulihan dan pengayaan. Pada masa ini, guru juga harus mempertimbangkan tempat belajar, sama ada di dalam bilik darjah, makmal, pusat sumber, mahupun di luar kampus. Hal ini agar objektif guru pada hari tersebut akan berjalan dengan lancar tanpa ada rintangan untuk diteruskan kerana telah dirancang dengan sebaiknya.

Gambar 1: Simbol amaran bahaya yang perlu ada dalam makmal sains



👉 Kemahiran Mengelola

    Dalam kemahiran ini, guru perlu memberi arahan yang jelas, memaklumkan peraturan dan prosedur, menyelaras dan mengatur aktiviti. Seperti contoh, jika aktiviti pelajaran dan pembelajaran dijalankan dalam makmal, guru mestilah menerangkan perkara yang dilarang dalam makmal dan prosedur ketika berada dalam makmal untuk menjaga keselamatan pelajar dan tidak berlakunya perkara yang tidak diingini. Guru juga perlu menyediakan bahan pembelajaran, kerja rumah dan membahagikan pelajar kepada kumpulan, menentukan lokasi dan susunan pelajar atau kumpulan Ketika berada di dalam kelas. Guru juga perlu memberi perhatian semasa menentukan lokasi dan susunan pelajar atau kumpulan. Ini dilakukan untuk membolehkan pelajar memahami hala tuju dan peranan mereka di dalam bilik darjah. Pengurusan yang baik juga dapat memastikan proses pembelajaran berjalan lancar.

Gambar 2: Guru memastikan pembelajaran berjalan dengan lancar



👉 Kemahiran Mengawal

    Dalam mengawal bilik darjah, guru perlu memantau untuk memastikan samaada pelajarnya berada dalam keadaan yang selesa, mempunyai bahan pembelajaran yang mencukupi dan sering terlibat dalam aktiviti pembelajaran dalam kelas.. Seperti contoh, memantau semua pelajar agar terus aktif dan berdaya saing secara sihat dalam kelas agar guru dapat mengenalpasti pelajar yang kurang mengambil bahagian dalam pembelajaran seterusnya dapat ambil tahu mengenai masalah yang pelajar tersebut hadapi. Sekiranya pelajar tidak memberi perhatian atau menimbulkan masalah, guru boleh terus memanggil nama pelajar lalu memberi teguran dan nasihat ataupun menghantarnya ke tindakan tatatertib atau bilik kaunseling jika perlu. Guru juga perlu memberi perhatian dan tunjuk ajar kepada pelajar yang memerlukan bimbingan seperti pelajar yang mungkin masih tidak pandai membaca dan pelajar yang boleh menguasai pembelajaran dengan cepat pula diberi aktiviti pengayaan untuk meningkatkan lagi ilmu pengetahuan mereka.

Gambar 3: Guru memastikan semua pelajar terlibat dalam aktiviti kelas


👉 Kemahiran Membuat Refleksi

    Guru haruslah mengamalkan kemahiran refleksi kerana ini penting untuk meningkatkan kawalan bilik darjah secara keseluruhan. Oleh itu, guru perlu menganalisis dan menilai keberkesanan amalan pengajaran dan pembelajaran yang mereka gunakan. Ia dilaksanakan melalui aktiviti atau kaedah, strategi dan kaedah yang digunakan, aktiviti atau tugasan, bahan bantu mengajar dan borang penilaian yang digunakan dalam proses pengajaran. Guru juga mestilah bertanggungjawab dan bersedia menerima kesilapan dan kemungkinan melakukan perubahan, mendengar serta mempertimbangkan maklumat daripada sumber lain serta bersedia mencuba alternatif lain yang mungkin akan lebih berkesan untuk digantikan dengan amalan yang digunakan sebelumnya. Sedikit sebanyak budaya ini dapat membantu guru meningkatkan mutu pengajaran dengan lebih berkesan dan selaras dengan pembelajaran masa kini iaitu pembelajaran abad ke-21.

Gambar 4: Ciri-ciri refleksi yang perlu dilakukan oleh guru


👉 Kemahiran Menjalin Hubungan Guru-Murid

    Guru juga perlu membina dan menjaga hubungan baik dengan pelajar. Ini juga adalah salah satu kemahiran iaitu kemahiran menjalin hubungan guru-murid. Dalam menguruskan pelajar, guru perlu bersabar dan banyak bertolak ansur untuk memenangi hati pelajar agar pelajar akan selalu menghormati guru sebagai pendidik mereka. Barbetta (2005) menyenaraikan beberapa kesilapan yang dilakukan oleh guru dalam mengendalikan tingkah laku pelajarnya. Beliau ada menegaskan bahawa pujian dari guru merupakan satu kaedah yang bernilai dan berkesan untuk membantu pelajar mengubah tingkah laku mereka seterusnya meningkatkan proses pembelajaran di bilik darjah. Menurut Model (2005) pula, pelajar yang tidak pernah dipuji tentang tingkah laku mereka yang positif, tidak akan mempunyai motivasi yang tinggi untuk mengukir kejayaan di dalam pelajarannya. Spitall (2005) bersetuju dengan pandangan oleh Barbetta (2005) dan Model (2005) dengan menasihatkan guru agar mengelak daripada menggunakan sindiran ketika menasihati pelajar yang bermasalah. Jika seorang guru menggunakan sindiran untuk menegur kesilapan yang dilakukan oleh pelajarnya akan membuahkan hasil yang tidak diingini. Sindiran ini akan lebih mendorong pelajar untuk meneruskan kesilapan mereka sebagai balasan kepada sindiran guru terhadap perbuatannya.

Gambar 5: Guru berkomunikasi dengan pelajar


Comments